Let's follow me!

Lawati Tasneem Naturel

Lawati Tasneem Naturel
Sape Sapu Jer..

Tuesday, July 16, 2013

Rezeki melimpah ruah

Kita jarang-jarang bersyukur terhadap rezeki yang berupa makanan yang kita terima setiap hari. Tetapi jika kita bersyukur, Allah telah menjanjikan akan menambah lagi rezeki orang itu dan sebaliknya jika tidak bersyukur mereka akan mendapat azab yang amat pedih.

Dari al-Quran, “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi…” (Al-A’raf: 96)

Apabila dikatakan takwa, ia meliputi ruang lingkup yang begitu luas iaitu termasuk melakukan segala amalan yang disuruhi Allah iaitu yang termasuk di dalam rukun Islam, melakukan segala ibadat, zikir, tasbih, tahmid, mengerjakan segala amalan sunat dan sebagainya. Mengenai ibadat, Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: “Tuhanmu telah berfirman: ‘Wahai anak Adam,sempatkanlah untuk beribadah kepadaKu, maka Aku akan penuhi hatimu dengan rasa kaya dan Aku akan penuhi kedua-dua tanganmu dengan rezeki. Wahai anak Adam, janganlah kamu menjauhi Aku, maka Aku akan memenuhi hatimu dengan kefakiran dan kedua-dua tanganmu dengan kesibukan’.”(H.R Imam Al-Hakim daripada Mu’aqqal bin Yassar r.a.)

Didalam al Quran ada dinyatakan bahawa sesiapa yang tidak bersyukur maka Allah akan mendatangkan azab yang pedih kepadanya, sebaliknya sesiapa yang bersyukur Allah telah menjanjikan ni’mat kepadanya. Ayatnya Bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala Rabbmu memaklumkan: ‘Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni’mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.”

Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Abi Hurairah r.a., ia berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Siapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturrahim.”

Dalam al-Quran ada disebut bahawa orang yang besedekah akan mendapat balasan yang berlipat-ganda. “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (Al-Quran Surah al Hadid, Ayat 18)

Daripada Abi Dhibah berkata: Usman Ibnu Affan r.a berkata, Sesungguhnya saya perintah kepada mereka supaya membaca surah “al-Waaqiah” tiap tiap malam. Sesungguhnya saya dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa membaca surah ‘al-Waaqiah’ tidak akan jadi miskin selama-lamanya.”
Memperbanyak istighfar, memohon keampunan kepada Allah adalah salah satu cara untuk memperolehi rahmat dan diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka.

Hadis Nabi s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa tekun beristighfar, nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezeki dari arah yang tidak  di sangka-sangka.” (H.R. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti kamu diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (H.R Umar bin al-Khattab dari Imam Ahmad, At-Tirmizi dll.) Hadis ini bukanlah bermaksud supaya kita diam sahaja dan tidak melakukan apa-apa dan mengharapkan pemberian dari Allah, malah jika kita fahami, dalam hadis ini, dan melihat kelakuan burung, ia keluar pada pagi hari berterbangan dan berkicauan ke sana kemari untuk mencari rezeki dan akhirnya akan diberi rezeki yang ditemuinya di mana-mana.

Dalam al-Quran terdapat satu ayat yang menyatakan tentang orang yang berhijrah akan memperolehi banyak rezeki. “Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.” (An-Niza’: 100)

Belajar ilmu Feqah termasuk juga di dalam perkara yang mendatangkan rezeki seperti mana tersebut dalam hadis Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa belajar ilmu Feqah (mendalami ilmu agama) padahal ia berkehendak ingin mendirikan agama Allah Taala, nescaya memadai oleh Allah Taala bagi dia akan segala yang dicita-citanya dan memberi Ia rezeki akan dia dengan tiada terkiranya dan tiada diusahanya yakni dimudahkan oleh Allah akan rezekinya dengan tiada diusahainya dan tiada dibicarakannya.” 

Sebagai ingatan kepada kita semua dalam memburu kekayaaan dan kesenangan, di bawah ini diturunkan hadis Nabi s.a.w. sebagai panduan, yang bermaksud: “Barangsiapa yang kehidupan duniawi menjadi tujuan utamanya, nescaya Allah menjauhkan dirinya dari tujuannya, dan meletakkan kefakiran di hadapan biji matanya. Ia tidak mendapatkan kehidupan dunia, melainkan apa yang telah ditentukan baginya. Barangsiapa yang kehidupan akhirat menjadi niat utamanya, nescaya Allah akan menyatakan dirinya dengan tujuannya, dan menjadikan kekayaan dalam hatinya sekaligus mendapat kehidupan duniawi. Dan (perlu diingat), kehidupan duniawi adalah hina.” (H.R. Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi.)

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.w.t. berfirman: “Wahai manusia, sekiranya engkau takut kepada neraka sebagaimana engkau takut kepada kemiskinan, nescaya Aku akan memberi kekayaan kepadamu daripada jalan yang tidak dapat engkau jangkakan.” Hadis Qudsi, Imam al-Ghazali, Nasihat dan Bimbingan. Tahqiq: Dr. Abdul Hamid Salil Hamdan

credit to: - http://rahsiarezeki.com

#Pray4Gaza