Kita
jarang-jarang bersyukur terhadap rezeki yang berupa makanan yang kita
terima setiap hari. Tetapi jika kita bersyukur, Allah telah menjanjikan
akan menambah lagi rezeki orang itu dan sebaliknya jika tidak bersyukur
mereka akan mendapat azab yang amat pedih.
Dari al-Quran, “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri
beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka
barakah dari langit dan bumi…” (Al-A’raf: 96)
Apabila dikatakan takwa, ia meliputi ruang lingkup yang begitu luas
iaitu termasuk melakukan segala amalan yang disuruhi Allah iaitu yang
termasuk di dalam rukun Islam, melakukan segala ibadat, zikir, tasbih,
tahmid, mengerjakan segala amalan sunat dan sebagainya. Mengenai ibadat,
Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: “Tuhanmu telah berfirman:
‘Wahai anak Adam,sempatkanlah untuk beribadah kepadaKu, maka Aku akan
penuhi hatimu dengan rasa kaya dan Aku akan penuhi kedua-dua tanganmu
dengan rezeki. Wahai anak Adam, janganlah kamu menjauhi Aku, maka Aku
akan memenuhi hatimu dengan kefakiran dan kedua-dua tanganmu dengan
kesibukan’.”(H.R Imam Al-Hakim daripada Mu’aqqal bin Yassar r.a.)
Didalam al Quran ada dinyatakan bahawa sesiapa yang tidak bersyukur
maka Allah akan mendatangkan azab yang pedih kepadanya, sebaliknya
sesiapa yang bersyukur Allah telah menjanjikan ni’mat kepadanya. Ayatnya
Bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala Rabbmu memaklumkan:
‘Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni’mat)
kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu
sangat pedih.”
Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Abi Hurairah r.a., ia berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Siapa
yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya
(dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturrahim.”
Dalam al-Quran ada disebut bahawa orang yang besedekah akan mendapat balasan yang berlipat-ganda.
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang
perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada
Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya
(dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala
yang mulia. (Al-Quran Surah al Hadid, Ayat 18)
Daripada Abi Dhibah berkata: Usman Ibnu Affan r.a berkata,
Sesungguhnya saya perintah kepada mereka supaya membaca surah
“al-Waaqiah” tiap tiap malam. Sesungguhnya saya dengar Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Sesiapa membaca surah ‘al-Waaqiah’ tidak akan jadi miskin selama-lamanya.”
Memperbanyak istighfar, memohon keampunan kepada Allah adalah salah
satu cara untuk memperolehi rahmat dan diberi rezeki dari arah yang
tidak di sangka-sangka.
Hadis Nabi s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa tekun beristighfar,
nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan
serta diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka.” (H.R. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim)
Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Seandainya
kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti kamu
diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan
petang hari telah kenyang.” (H.R Umar bin al-Khattab dari Imam Ahmad, At-Tirmizi dll.) Hadis
ini bukanlah bermaksud supaya kita diam sahaja dan tidak melakukan
apa-apa dan mengharapkan pemberian dari Allah, malah jika kita fahami,
dalam hadis ini, dan melihat kelakuan burung, ia keluar pada pagi hari
berterbangan dan berkicauan ke sana kemari untuk mencari rezeki dan
akhirnya akan diberi rezeki yang ditemuinya di mana-mana.
Dalam al-Quran terdapat satu ayat yang menyatakan tentang orang yang berhijrah akan memperolehi banyak rezeki. “Barangsiapa
berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini
tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.” (An-Niza’: 100)
Belajar ilmu Feqah termasuk juga di dalam perkara yang mendatangkan rezeki seperti mana tersebut dalam hadis Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa
belajar ilmu Feqah (mendalami ilmu agama) padahal ia berkehendak ingin
mendirikan agama Allah Taala, nescaya memadai oleh Allah Taala bagi dia
akan segala yang dicita-citanya dan memberi Ia rezeki akan dia dengan
tiada terkiranya dan tiada diusahanya yakni dimudahkan oleh Allah akan
rezekinya dengan tiada diusahainya dan tiada dibicarakannya.”
Sebagai ingatan kepada kita semua dalam memburu kekayaaan dan
kesenangan, di bawah ini diturunkan hadis Nabi s.a.w. sebagai panduan,
yang bermaksud: “Barangsiapa yang kehidupan duniawi menjadi
tujuan utamanya, nescaya Allah menjauhkan dirinya dari tujuannya, dan
meletakkan kefakiran di hadapan biji matanya. Ia tidak mendapatkan
kehidupan dunia, melainkan apa yang telah ditentukan baginya.
Barangsiapa yang kehidupan akhirat menjadi niat utamanya, nescaya Allah
akan menyatakan dirinya dengan tujuannya, dan menjadikan kekayaan dalam
hatinya sekaligus mendapat kehidupan duniawi. Dan (perlu diingat),
kehidupan duniawi adalah hina.” (H.R. Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi.)
Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.w.t. berfirman: “Wahai
manusia, sekiranya engkau takut kepada neraka sebagaimana engkau takut
kepada kemiskinan, nescaya Aku akan memberi kekayaan kepadamu daripada
jalan yang tidak dapat engkau jangkakan.” Hadis Qudsi, Imam al-Ghazali, Nasihat dan Bimbingan. Tahqiq: Dr. Abdul Hamid Salil Hamdan
credit to: - http://rahsiarezeki.com
No comments:
Post a Comment