Let's follow me!

Lawati Kedai Qaseh Gold Online

Saturday, September 13, 2014

Tawakal dan Ikhlas


Ada beberapa perkara yang berkaitan tentang tawakal kepada Allah, iaitu:

Pertama:
 Tawakal adalah perkara yang berkaitan tentang masalah akidah. Meyakini Sang Pencipta, iaitu  Allah, sebagai satu-satunya tempat bergantung bagi setiap Muslim ketika berharap suatu manfaat dan menghindari daripada kemudaratan. Orang yang mengingkari perkara ini bererti dia kafir.

Kedua: Setiap hamba wajib bertawakal hanya kepada Allah dalam segala urusannya. Tawakal ini termasuklah di dalam hati, iaitu jika seorang hamba mengucapkannya tapi tidak meyakini dengan hatinya, maka ia tidak dianggap sebagai seorang yang bertawakal.

Ketiga: Jika seorang hamba mengingkari dalil-dalil kewajipan untuk bertawakal yang bersifat qath’i (pasti), maka ia telah menjadi orang kafir.





Keempat: Tawakal kepada Allah tidak sama dengan hukum perbuatan ketika beramal (al-akhdzu bil asbab). Ini kerana, ia adalah dua perkara yang berbeza. Dalil-dalilnya juga berbeza. Rasulullah SAW. senantiasa bertawakal kepada Allah SWT, dan pada waktu yang sama baginda juga beramal dengan berpegang kepada hukum sababiyah. Baginda telah memerintahkan kepada para sahabat agar melakukan kedua perkara tersebut, baik yang ada di dalam al-Quran atau al-Hadis. Misalnya baginda telah menyiapkan kekuatan yang mampu dilakukan, seperti menutup sumur-sumur semasa perang Badar dan menggali parit semasa perang Khandak. Baginda pernah meminjam baju besi daripada Sofwan untuk berperang, mengirim pengintip, memutuskan air dari Khaibar, dan mencari maklumat tentang kaum Quraisy ketika peristiwa fathul Makkah. Baginda juga memasuki Makkah dengan mengenakan baju besi. Di samping itu, baginda juga pernah melantik beberapa orang sahabat sebagai pengawal peribadinya sebelum turun Firman Allah:

Dan Allah memelihara kamu daripada (gangguan) manusia(TMQ. al- Maidah [5]: 67)

Begitu pula dengan aktiviti-aktiviti baginda yang lainnya ketika berada di Madinah setelah berdirinya Daulah Islam. Adapun ketika di Makkah, baginda telah memerintahkan para sahabat untuk berhijrah ke Habsyah. Baginda menerima pula perlindungan dari bapa saudaranya, Abu Thalib. Baginda tinggal di Syi’ib (lembah) ketika terjadi pemboikotan daripada kafir Quraisy. Pada malam peristiwa hijrah, baginda memerintahkan Ali bin Abi Thalib untuk tidur di tempat tidurnya. Baginda tidur di gua Tsur selama tiga hari. Lalu baginda mengupah seorang penunjuk jalan daripada Bani Dail. Semua itu menunjukkan bahawa Baginda telah melakukan suatu amal sesuai dengan kai’dah sebab-akibat. Tetapi pada saat yang sama Baginda tetap tidak meninggalkan tawakal, kerana tidak ada kaitan antara tawakal dengan menggunakan kai’dah sebab-akibat ketika beramal. Mencampur adukkan keduanya akan menjadikan tawakal hanya sekadar formaliti belaka yang tidak ada kesannya dalam kehidupan. 



Dalil-dalil tentang kewajiban bertawakal adalah:

Firman Allah:

(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan, “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab, “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.” (TMQ. Ali ‘Imran [3]: 173)



“Dan bertawakallah kepada Allah Yang Hidup (Kekal) Yang tidak mati…” 
(TMQ. al-Furqan [25]: 58)

“Dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.”
 (TMQ. at-Taubah [9]: 51)
“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah.” 
(TMQ. Ali ‘Imran [3]: 159)

“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya.” 
(TMQ. at-Thalaq [65]: 3)

“Maka sembahlah Dia, dan bertawakallah kepadaNya.” 
(TMQ. Hud [11]: 123)

“Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah, “Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada- Nya aku bertawakal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung”. 
(TMQ. at-Taubah [9]: 129)

“Barangsiapa yang tawakal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (TMQ. al-Anfal [8]: 49)

Dan masih banyak ayat-ayat yang lainnya yang menunjukkan wajibnya bertawakal.

“Dari Ibnu Abbas ra., dalam hadis yang menceritakan tujuh puluh ribu golongan yang akan masuk syurga tanpa dihisab dan tanpa diseksa terlebih dahulu, Rasulullah SAW. bersabda: Mereka adalah orang-orang yang tidak melakukan amalan ruqyah, dan minta diruqyah, juga tidak melakukan amalan tathayyur dan mereka sentiasa bertawakal kepada Tuhan-nya.” 
(Mutafaq ‘alaih)

Dari Ibnu Abbas ra., sesungguhnya Rasulullah SAW. Ketika bangun malam untuk bertahajjud suka membaca: ….Ya Allah, hanya kepada-Mu aku berserah diri, hanya kepadaMu aku beriman, hanya kepada-Mu aku bertawakal. (Mutafaq ‘alaih).

Dari Abu Bakar ra., ia berkata; ketika kami berdua sedang ada di gua Tsur, aku melihat kaki-kaki kaum Musyrik, dan mereka ada di atas kami. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, jika salah seorang dari mereka melihat ke bawah kakinya, maka pasti ia akan melihat kita.” Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Abu Bakar, apa dugaanmu terhadap dua orang manusia, sementara Allah adalah yang ketiganya (untuk melindunginya). (Mutafaq ‘alaih)

Dari Ummi Salmah ra., sesungguhnya Nabi SAW. ketika akan keluar dari rumah, Baginda suka membaca: Dengan menyebut nama Allah, aku bertawakal kepada Allah… (HR. at-Tirmidzi, ia berkata, “Hadis ini hasan shahih.” an-Nawawi dalam Riyadhus ash-Shalihîn berkomentar, “Hadis ini shahih”).

Dari Anas bin Malik sesungguhnya Rasulullah SAW. bersabda: Jika seseorang hendak keluar dari rumahnya kemudian membaca, “Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan kekuasaan Allah”; maka akan dikatakan kepadanya, “Cukup bagimu, sungguh engkau telah diberi kecukupan, engkau pasti akan diberi petunjuk dan engkau pasti dipelihara.” Kemudian ada dua syaitan yang bertemu dan salah satunya berkata kepada yang lain, “Bagaimana engkau dapat menggoda seorang yang telah diberi kecukupan, dipelihara, dan diberi petunjuk.” (HR. Ibnu Hibban dalam kitab Shahih-nya. Ia berkata dalam al-Mukhtarah, “Hadis ini telah dikeluarkan oleh Abu Dawud dan an-Nasai, Isnadnya shahih”)

Dari Umar bin al-Khathab bahawa Rasulullah SAW. bersabda: Jika kalian benar-benar bertawakal kepada Allah, sungguh Allah akan memberikan rezeki kepada kalian, sebagaimana Allah telah memberikan rezeki kepada burung. Burung itu pergi dengan perut kosong dan kembali ke sarangnya dengan perutnya penuh makanan. (HR. al-Hakim; Ia berkata, “Hadis ini shahih isnadnya”, dan Ibnu Hibban dalam kitab Shahih-nya, dan dishahihkan oleh al-Maqdisi dalam al-Mukhtarah).




Kredit to: Penulis asal.

No comments:

Post a Comment

#Pray4Gaza