Pemimpin menurut perspektif Islam
Jika dahulu, para sahabat R.A sangat takut jika dipilih menjadi seorang pemimpin, tetapi sekarang,ramai yang berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin. Semua mengaku yang terbaik dan sanggup menjatuhkan lawannya dengan apa cara sekalipun!
Sabda Rasulullah SAW ketika beliau menyampaikan hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah:
“Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan.” (HR. Al-Bukhari).
Memilih pemimpin bukanlah perkara remeh, sebab calon yang dipilih itulah yang akan membawa tag pemimpin rakyat untuk membuat dan menjalankan dasar-dasar yang menentukan nasib ribuan malah jutaan jiwa umat. Suka tidak suka, calon yang terpilih itulah yang akan menulis dakwat sejarah di negeri ini. Walau apapun sejarah itu masih tanda tanya besar, apakah akan menjadi dakwat emas yang sentiasa dikenang atau dakwat hitam yang sentiasa dikenang dengan kenangan hitam. Mampukah dia menjadi pemimpin sejati atau menjadi pemimpin yang mengkhianati amanat rakyat.
Pemimpin merupakan lambang kekuatan, keutuhan, kedisiplinan dan persatuan. Namun harus kita sedari juga bahawa pemimpin bukanlah hanya sekadar lambang. Oleh itu, ia memerlukan kecekapan, kelayakan dan aktiviti yang utama untuk memimpin bawahannya.
Melihat ciri-ciri pemimpin, sebagai seorang Muslim, tentu kita tidak boleh sembarangan memilih pemimpin. Jangan sampai ibarat “memilih kucing dalam karung” yang kemudian hari akan mencalarkan kita semula.
PERANAN SEORANG PEMIMPIN
Menurut perspektif Islam ada dua peranan yang dimainkan oleh seorang pemimpin:
1. Pelayan (khadim)
Pemimpin adalah pelayan bagi pengikutnya. Seorang pemimpin yang dimuliakan orang lain, belum tentu perkara tersebut sebagai tanda kemuliaan. Kerana pemimpin yang baik adalah pemimpin yang boleh berkhidmat dan menjadi pelayan bagi kaumnya.
Seorang pemimpin sejati, mampu meningkatkan kemampuan dirinya untuk memuliakan orang-orang yang dipimpinnya. Dia membelanjakan lebih banyak, dia bekerja lebih keras, dia berfikir lebih kuat, lebih lama dan lebih mendalam dibanding orang yang dipimpinnya.
Demikianlah pemimpin sejati yang dicontohkan Nabi Muhammad SAW.Bukan sebaliknya, pemimpin yang selalu ingin dilayani, selalu ingin mendapatkan dan mengambil sesuatu dari orang-orang yang dipimpinnya.
2. Pemandu (muwajjih)
Pemimpin adalah pemandu yang memberikan arahan pada pengikutnya untuk menunjukkan jalan yang terbaik untuk selamat sampai di tujuan tentu saja itu baru tercapai dengan sempurna jika di bawah naungan syariat Islam.
CIRI-CIRI PEMIMPIN DALAM ISLAM
Perlu disedari, dalam memilih pemimpin ada tanggung jawab yang akan dipikul di hadapan Allah terhadap pilihan kita. Di sinilah pentingnya seorang pemilih mengenal calon pemimpinnya agar boleh mengetahui kesesuaiannya dengan watak pemimpin ideal yang ditetapkan oleh Islam. Kalau ternyata sesuai, maka jangan segan memberikan undi.
Di antara ciri-ciri pemimpin dalam Islam, iaitu:
1. Jujur
Pemimpin Islam haruslah jujur kepada dirinya sendiri dan pengikutnya. Seorang pemimpin yang jujur akan menjadi contoh terbaik. Pemimpin yang perkataan dengan perbuatannya sentiasa selari.
2. Kompotensi
Kompotensi dalam bidangnya mutlak dimiliki oleh seorang pemimpin Islam. Orang akan mengikuti seseorang jika dia benar-benar meyakini bahawa orang yang diikutinya benar-benar tahu apa yang sedang diperbuatnya.
3. Inspirasi
Seorang pengikut akan merasakan ‘selamat’ jika pemimpinnya membawanya pada rasa selesa dan menimbulkan rasa optimis walau seburuk apa pun situasi yang sedang dihadapi.
4. Sabar
Pemimpin Islam haruslah sabar dalam menghadapi segala macam persoalan dan keterbatasan, serta tidak bertindak tergesa-gesa dalam mengambil keputusan.
5. Rendah hati
Seorang pemimpin Islam hendaklah memiliki sikap rendah hati. Tidak suka menampakkan kelebihannya (riya) serta tidak merendahkan orang lain.
6. Musyawarah
Dalam menghadapi setiap persoalan, seorang pemimpin Islam haruslah menempuh jalan musyawarah serta tidak menentukan keputusan sendiri.
Asy-Syaikh Abdurrahman As-Sa’di, RA mengatakan,
“Jika Allah mengatakan kepada Rasul-Nya, padahal beliau adalah orang yang paling sempurna akalnya, paling banyak ilmunya dan paling banyak ideanya,” Maka bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. ” (QS. Ali Imran: 159). Maka bagaimana dengan yang selain Baginda? “
7. Mampu berkomunikasi dengan rakyatnya
Kapasiti ilmiah serta rasa sensitiviti yang baik akan mereka yang dipimpinnya, pada akhirnya akan melahirkan seorang pemimpin yang mampu berkomunikasi dengan baik kepada rakyatnya. Komunikasi yang baik kepada rakyatnya bukanlah sekadar kemampuan menimbulkan retorik yang baik, tetapi juga kemampuan memilih perkara yang akan dilempar kepada awam serta timing yang tepat semasa melemparkannya. Kematangan seorang pemimpin akan membuatnya mampu berkomunikasi yang jauh dari sikap emosional. Dan yang terpenting dari semua itu adalah pemimpin akhirnya mampu mengambil sebuah dasar yang tepat dalam sebuah keadaan yang memang diperlukan oleh rakyat yang dipimpinnya.
RAHSIA KEKUATAN PEMIMPIN
1. Kekuatan iman, ilmu, dan wawasan yang luas
Seluruh nabi dan rasul memimpin dengan kekuatan iman dan ilmu. Nabi Sulaiman Alaihissalam memerintah hampir seluruh makhluk (seperti jin, binatang, angin) dengan ilmu dan keimanan yang kuat. Nabi Muhammad S.A.W dapat menyelesaikan pelbagai masalah dengan ilmu dan keimanan yang kuat. Dengan ilmu dan iman seorang pemimpin sanggup memimpin dirinya (seperti memimpin matanya, hatinya, lidahnya, fikiran dan hawa nafsunya) sebelum memimpin orang lain.
2. Ibadah dan taqarrub kepada Allah.
Ibadah dan banyak bertaqarrub kepada Allah, dapat melahirkan kewibaan, ketawadhuan, kesabaran, optimisme, dan tawakal. Ibadah dan taqarrub juga akan melahirkan kekuatan ruhaniyah yang dahsyat.
3. Teladan
Ketika Rasulullah S.A.W mengajak para sahabat berjihad, beliau bertempur paling depan, paling ringan bersedekah dan hidup paling bersahaja. Ketika Rasulullah S.A.W menyuruh bertahajud, beliaulah yang kakinya bengkak kerana banyak bertahajjud. Ketika Rasulullah S.A.W mengajak umatnya untuk berhias dengan akhlak mulia, beliaulah manusia yang paling mulia akhlaknya.
CIRI-CIRI PENGIKUT DALAM ISLAM
1. Taat
Seorang pengikut harus patuh kepada pemimpin. Setelah pemimpin dipilih melalui jalan musyawarah maka wajib bagi pengikutnya (yang menang dan yang kalah untuk taat kepadanya, kecuali pemimpin telah melanggar ketentuan Allah dan membuat kerosakan).
2. Dinamik dan kritis
Seorang pengikut harus dinamik dan kritis dalam mengikuti kepimpinan seseorang. Islam tidak mengajarkan suatu mengikut membuta-tuli atau sekadar ikut-ikutan.
RENUNGAN
Bagi pemimpin dan calon pemimpin masa depan, amanah yang anda pikul bukanlah suatu kemegahan dan kebanggaan.
Maka jadikanlah janji Allah memasukan pemimpin yang adil dalam SyurgaNya sebagai sumber tenaga hidup anda.
Dan bagi kita yang akan memberikan pilihan dan selanjutnya akan dipimpin, marilah kita sedari bahawa peluang kita hanya sekali untuk melakukan pilihan dengan tepat. Setelah itu, kemampuan kita dalam menentukan arah kepimpinan tidak sekuat semasa kita memilih. Setidaknya, kita telah berusaha melakukannya. Dan yang pasti, pilihan kita akan kita pertanggungjawabkan di hadapan Allah.
Posted @ www.isuhangat.net. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment